Monday, March 29, 2010

JIKA KAMU MENDAPAT LUKA..

“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.” [Ali-Imran:139]


Apabila Umar bin Al-Khattab (RA) mengirim bala tentera di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqqas (RA) ke peperangan al-Qadisiyyah, beliau telah menasihati Saad: “Takutlah akan dosa kamu lebih dari musuh kamu kerana dosa kamu lebih merbahaya kepada kamu dari musuh kamu, Kita, orang-orang yang beriman akan hanya memperolehi kejayaan ke atas musuh kita kerana dosa mereka lebih besar dari kita, bukan di atas sebab lain. Jika dosa kita sama dengan dosa musuh, maka mereka pasti akan dapat mengalahkan kita kerana jumlah mereka yang ramai dan sumber mereka lebih banyak.”

Dan dengan itu, maka Saad (RA) meneruskan peperangan menentang tentera Parsi dan berpegang kepada nasihat Khalifahnya, beliau telah memenjarakan Abu Mahjan Ath-Thaqafi yang didapati meminum arak agar kehadirannya tidak akan menangguhkan kejayaan tentera Islam. Sehingga Abu Mahjan melahirkan perasaan sedihnya di tempat kurunganya, lalu beliau mengarang sebuah sajak yang menyentuh perasaan isteri Saad (RA) sehingga beliau membebaskan sementara Abu Mahjan agar beliau dapat menyertai peperangan bersama-sama saudaranya yang lain. Lalu Abu Mahjan keluar ke medan pertempuran dengan menunggang kuda milik Saad (RA) kerana pada ketika itu Saad sedang demam. Abu Mahjan telah berjuang dengan penuh keberanian sebelum pulang ke tempat kurungannya di waktu petang dan memakai sendiri ikatan pada kakinya.

Kejadian tersebut berterusan selama tiga hari sehingga Saad (RA) mendapat tahu tentang keberanian Abu Mahjan, beliau membuka ikatan Abu Mahjan sambil berkata: “Demi Allah! saya tidak akan mengurung engkau lagi kerana meminum arak!” Untuk itu Abu Mahjan menjawab, “Demi Allah! Aku tidak akan menyentuh arak lagi selepas hari ini!”

Mereka memperolehi kejayaan yang besar dan Saad (RA) melantik seorang sahabat yang bernama Salman al-Farisi (RA) sebagai pemimpin baru Parsi, yang menerima gaji sebanyak satu dirham sehari.

Kemenangan dan kekalahan, keuntungan dan kerugian, kejayaan dan kemunduran bukanlah disebabkan oleh wang yang banyak, sumber, jumlah atau kepandaian. Sebaliknya ia disebabkan oleh ketaatan dan keingkaran kepada Allah SWT.